Friday, July 11, 2008

BICARA CENDIKIAWAN


Elak rakyat bawa keranda...
Ahmad Lutfi Othman
Fri | Jul 11, 08 | 7:52:47 am MYT

Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff ternyata tokoh terbaik untuk mengulas pemerintahan 100 hari kerajaan Pakatan Rakyat. Rumusannya seimbang dan menyeluruh. Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia ini memberikan tumpuan terhadap kerajaan negeri Selangor, selain mengemukakan cadangan praktikal untuk melakukan penambahbaikan. Ikuti wawancara sidang wartawan Harakah dengannya baru-baru ini.

HARAKAH: Rata-rata kini orang bercakap penilaian terhadap 100 hari empat kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Pentingkah penilaian dalam tempoh yang singkat ini?

AGUS: Menilai kerajaan yang baru dibentuk dalam masa seratus hari adalah mustahak, bukan untuk menilai keberkesanan pemerintahan, tetapi untuk melihat tentang perancangannya setelah baru dipilih rakyat. Jika setelah seratus hari memerintah masih belum ada blue print dan dasar yang jelas untuk mentadbir negeri, maka ada dua kemungkinan awal yang boleh ditanggap: sama ada kerajaan yang dibentuk itu tidak stabil untuk merancang atau lemah untuk merancang.

Apa signifikannya penilaian 100 hari terhadap survival kerajaan baru yang memerintah?

ImageTempoh ini tentunya signifikan dalam lima perkara utama: Pertama, ia penting untuk membolehkan kerajaan Pakatan merapatkan persefahaman dan kerjasama bagi membentuk kerajaan yang stabil.

Kedua, ia penting untuk memberi ruang secukupnya kepada parti dalam Pakatan bertolak ansur membahagikan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan yang dikuasainya supaya memuaskan hati semua pihak.

Ketiga, ia penting untuk melihat sejauh manakah dasar-dasar pemerintahan dapat dipersetujui bersama antara kesemua parti yang bergabung dalam Pakatan. Ini kerana sekiranya dasar pemerintahan tidak dapat dipersetujui bersama, maka kerajaan yang baru dibentuk itu boleh tumbang.

Keempat, ia penting untuk melihat penerimaan dan reaksi rakyat kepada barisan kepimpinan dan juga dasar kerajaan yang baru diperkenalkan.

Kelima, ia penting untuk membolehkan kerajaan yang baru dibentuk meyakinkan rakyat bahawa mereka dapat berkhidmat dengan baik dan memperkenalkan polisi-polisi yang menguntungkan rakyat.

Harus dingat juga bahawa tempoh 100 hari ini bukan untuk menilai keberkesanan dasar kerajaan baru, tetapi untuk melihat bentuk perancangan kerajaan baru dan dasar baru yang diperkenalkan.

Biasanya kerajaan yang baru dibentuk ini bersemangat tinggi dan selalunya dapat memberikan kesan yang positif kepada dan popular kepada rakyat. Tetapi selepas setahun dua memerintah, rakyat sudah boleh membuat penilaian dan ketika ini penerimaan rakyat mungkin sudah berbeza.

Namun ada yang bertanya balik, adilkah kita menilai dalam tempoh yang begitu singkat sedangkan BN, sebelumnya Perikatan, sudah memerintah lebih 50 tahun?

Soal adil tidak timbul kerana kita bukannya membandingkan kerajaan Pakatan Rakyat di empat negeri yang baru memerintah dengan kerajaan BN yang telah 50 tahun memerintah.

Seperti saya katakan di atas, tempoh ini bukannya waktu untuk kita menilai kehebatan atau kelemahan kerajaan baru, tetapi hendak mengetahui apakah yang telah dibuat dalam masa 100 hari tersebut dan apakah lagi yang hendak dibuat seterusnya dalam tempoh lima tahun berbaki yang masih ada.

Kerajaan yang berwawasan, tidak kira lama atau baru pastinya mempunyai agenda pembangunan untuk rakyat. Maka dalam tempoh inilah, rakyat mahu melihat perancangannya, bukan menilai keberkesanannya. Jadi dalam soal ini, soal adil atau tidak bukan isu yang perlu dipolemikkan.

Sejauhmanakah Pakatan Rakyat dapat menunaikan janji manifesto mereka dalam masa 100 hari ini?

Masa 100 hari belum membolehkan seseorang menilai keupayaan Pakatan secara menyeluruh dalam melaksanakan janjinya. Tapi yang jelas sudah ada keluhan rakyat tentang ketidapupayaan Pakatan untuk melaksanakan perkara asas yang dijanjikan dalam manifesto yang lepas.

Sekadar khabar angin yang saya dengar dan berita yang saya baca, Pakatan hanya memberikan bayaran RM1000 kepada pelajar miskin yang memasuki institusi pengajian tinggi sedangkan janji ini seperti yang terdapat dalam manifesto pilihan raya adalah untuk semua rakyat Selangor yang berjaya memasuki IPT.

Begitu juga dengan cukai pintu yang masih belum diturunkan dan bekalan air percuma untuk 20 meter padu yang rakyat masih belum merasai lagi biarpun rakyat diberitahu akan dikecualikan dalam bil bulan depan. Kita tunggulah bagaimana pelaksanaannya.

Harapnya dalam soal ini Pakatan tidak sekadar berjanji sahaja kerana rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan Pakatan ini untuk membantu meringankan beban mereka.

Sekiranya Pakatan gagal melaksanakan janjinya, maka perjuangan Pakatan untuk rakyat itu hanyalah satu lagi janji dan permainan politik yang tentunya mengecewakan rakyat. Saya harap rakyat tidak dikecewakan!

Ada pihak berpendapat janji-janji seperti bantuan RM1000 untuk pelajar baru IPTA, bekalan air percuma, penurunan cukai pintu hanya menebalkan mentaliti subsidi?

ImageApa kaitan bantuan kerajaan kepada rakyat dengan mentaliti subsidi? Saya tidak faham kenapa apabila rakyat memohon bantuan dan pertimbangan kerajaan untuk meringankan beban mereka, maka kita katakan rakyat bermentaliti subsidi.

Anggapan sebegini amat tidak adil kepada rakyat miskin yang mengharapkan kerajaan untuk membantu mereka. Saya kira dari segi falsafah pun, istilah 'subsidi' dan 'bantuan' kerajaan itu perlu dibezakan, apatah lagi dengan istilah 'mentaliti subsidi.' Jangan perlekehkan rakyat sampai ke tahap itu.

Kita kena tahu rakyat memilih kerajaan untuk membolehkan kerajaan memikirkan masalah rakyat dan membantu rakyat. Jadi kalau tuntutan rakyat supaya kerajaan membantu mereka pun dianggap sebagai 'rakyat bermentaliti subsidi', saya kira ini adalah satu tanggapan yang silap. Membantu meringankan beban dan mensejahterakan rakyat adalah tanggungjawab kerajaan yang diberi amanah oleh rakyat yang memilih mereka.

Jika kerajaan hanya mahu menjadi kerajaan yang tahu mengutip cukai sahaja sehingga membebankan rakyat, dan kerajaan tidak tahu mencari wang untuk menjana pendapatan negeri, maka lebih baik tidak usah memerintah. Slogan seperti rakyat bermentaliti subsidi seperti sudah menjadi satu penyakit kepada semua kerajaan-sama ada pusat atau negeri-apabila rakyat memohon supaya kesejahteraan mereka dipedulikan.

Saya harap istilah rakyat 'bermentaliti subsidi' sekiranya rakyat memohon bantuan kerajaan ini tidak digunakan lagi. Ia seperti rakyat yang miskin sering dipersalahkan. Tanggapan begini tentunya mengecewakan rakyat.

Antara tarikan manifesto Pakatan Rakyat ialah konsep negara kebajikan. Dalam bidang kuasa kerajaan negeri, rakyat tentunya tidak mendesak agar harga bahan api dikurangkan, tetapi bagaimana dengan hal-hal yang sememangnya boleh dilakukan oleh kerajaan negeri?

Saya yakin rakyat tahu mana satu bidang kuasa kerajaan negeri dan mana satu bidang kuasa kerajaan pusat. Rakyat tahu soal penentuan harga minyak itu kuasa kerajaan pusat dan oleh itu rakyat tidak akan mendesak kerajaan negeri menurunkan harga bahan bakar tersebut. Jadi saya tidak hendak bincangkan tentang kerajaan pusat. Persoalannya bagaimana dengan hal-hal yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri?

Semua tahu Selangor merupakan sebuah negeri kaya. Jadi tentunya kerajaan negeri juga mampu menjaga kebajikan rakyat. Tapi nak jaga macam mana kalau hendak bayar RM1000 seperti yang dijanjikan kepada semua pelajar Selangor yang dapat ke IPT pun sudah sukar dilaksanakan. Inilah yang merisaukan saya, soal yang tak perlu jadi isu pun sudah menjadi isu. Banyak yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban rakyat bagi menjayakan konsep negara kebajikannya.

Antaranya ialah kerajaan negeri perlu memenuhi keperluan asas rakyat seperti perumahan, kesihatan, pendidikan dan makanan. Tentunya kerajaan negeri akan kata cadangan ini tidak logik kerana apa yang saya nyatakan di atas adalah dalam bidang kuasa kerajaan pusat, tetapi sebagai negeri yang hendak menjayakan konsep negara kebajikan, kerajaan perlu fikir mekanisme untuk membantu mereka yang tinggal di Selangor ini merasai nikmat menetap di negeri yang kaya.

Saya yakin mekanismenya boleh difikirkan sekiranya kerajaan bersungguh untuk menjayakan konsep negara kebajikannya, tetapi hendak fikir macam mana kalau hendak memberi wang kepada pelajar yang memasuki IPT pun sudah menjadi isu.

Bagaimana janji-janji seperti good governance, ketelusan, antirasuah dapat dinilai dalam tempoh berkenaan?

Tempoh 100 hari masih sukar untuk menilai penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Pemimpin besar dunia dan kerajaan di dunia ini tidak melakukan kesilapan besar yang melibatkan tadbir urus dalam masa singkat pemerintahan mereka, tetapi setelah masuk ke tahap pelaksanaan, sebarang penyelewengan, jika ada akan dapat dikesan. Sehingga ke tahap ini, saya melihat keikhlasan kerajaan negeri untuk menjalankan pemerintahan dengan tadbir urus yang baik, telus dan antirasuah. Semoganya hal ini dapat diterus dan dikekalkan.

Bagaimana pula dengan kualiti wakil-wakil rakyat Pakatan?

ImageSatu yang jelas dengan wakil rakyat Pakatan ialah mereka dilihat bersih dan komited untuk membantu rakyat melalui suara mereka. Saya menyatakan ini berdasarkan kepada pengamatan saya melalui ucapan, ceramah, perbualan dan gaya hidup mereka.

Kenyataan akhbar mereka juga menunjukkan bahawa mereka adalah komited dalam perjuangan untuk mewujudkan kerajaan yang telus dan terbuka. Kesediaan mereka menghadapi risiko dengan menghadiri demonstrasi yang dianjurkan tanpa permit untuk menyuarakan bangkangan mereka kepada sesuatu isu rakyat juga menunjukkan mereka mempunyai kualiti sebagai seorang pejuang.

Namun, pengamatan saya juga menunjukkan mereka gagal untuk membantu rakyat yang mendatangi mereka secara bersemuka untuk mendapatkan bantuan wang segera bagi membeli keperluan harian dan lain-lain yang berkaitan. Soal tidak cukup wang satu hal, tapi soal berjiwa halus untuk mengongsi kesusahan dengan rakyat, itu saya kira kelebihan ada pada wakil rakyat BN.

Apa yang nyata, soal personal touch sebagai wakil rakyat ini, saya lihat wakil rakyat BN lebih berjaya. Jadi dalam soal ini, sementara wakil rakyat BN lebih merakyat untuk membantu rakyat secara terus, wakil rakyat Pakatan pula lebih merakyat untuk menyampaikan suara rakyat bagi mendapat perhatian kerajaan. Kedua-duanya ada peranan dan kualiti tetapi dari aspek yang berbeza.

Ada pandangan mengatakan wakil rakyat tidak perlu menjadi Santa Claus kepada pengundi yang memilihnya, cukuplah dengan diaktifkan, misalnya Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mungkin Prof. ada pandangan berbeza.

Jika di negara Barat memang betul wakil rakyat tidak perlu menjadi Santa Claus. Ini kerana segala keperluan rakyat dijaga oleh pegawai dan jabatan kerajaan. Di negara Barat, kerajaan betul-betul berfungsi sebagai penggubal polisi dan undang-undang sahaja. Tetapi senario di negara kita berbeza.

Allahyarham Dato' Mohd Asri pernah berkata, wakil rakyat yang berjaya ialah mereka yang bersedia untuk menjadi welfare officer. Kita memang boleh berhujah bahawa pendapat Asri itu mungkin relevan 20 atau 30 tahun dahulu tetapi tidak lagi dalam dunia globalisasi sekarang.

Apa pun hujahnya, di Malaysia wakil rakyat tidak sama seperti di Barat kerana tugas menjaga kebajikan rakyat, menghadiri majlis kenduri, menziarahi rakyat sakit demam masih lagi merupakan sebahagian dari tanggungjawab rutin wakil rakyat.

Sehinggalah kita menukarkan sistem pilihan raya kita dengan rakyat hanya memilih keupayaan dan merit calon sahaja sebagai wakil mereka, maka wakil rakyat tetap perlu menjadi Santa Claus kepada pengundi yang memilihnya. Saya lihat wakil rakyat BN lebih berjaya berbanding dengan wakil rakyat Pakatan dalam soal ini.

Soal untuk menyerahkan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat ini jangan dijadikan escapism oleh wakil rakyat Pakatan untuk tidak menjaga rakyat. Bagaimana hendak menjayakan konsep negara kebajikan sekiranya wakil rakyat sendiri tidak ada personal touch untuk menyelami masalah rakyat. Lagipun saya perhatikan Jabatan Kebajikan ini terlalu red tape dan sukar untuk memberikan bantuan sekiranya tidak ada sentuhan wakil rakyat.

Kerajaan negeri Pakatan mungkin mendakwa mereka kekurangan dana dan mempunyai keterbatasan untuk melunasi janji-janji.

Kerajaan yang bijak dan berkesan boleh memikirkan pelbagai cara untuk menjana pendapatan negeri. Kalau kerajaan negeri boleh mengkritik kerajaan pusat dan boleh mencadangkan kepada kerajaan pusat kaedah untuk menjana pendapatan negara, maka kerajaan negeri juga perlu memikirkan caranya untuk menambah dana negeri. Selangor adalah sebuah negeri yang kaya dan soal kekurangan dana bukan alasannya untuk tidak melunasi janji-janji plihan raya bagi mensejahterakan rakyat.

Sekarang timbul saranan agar konsep parti menguasai kerajaan dipraktikkan. Soalnya bagaimana ia boleh dilaksanakan sewaktu Pakatan Rakyat belum dapat dibentuk secara formal?

Soal ini sudah banyak diperkatakan. Untuk apa parti menguasai kerajaan jika pemimpin parti tidak berjiwa politik, sama seperti sikap dan perangai pegawai kerajaan sahaja. Pemimpin yang hebat mesti mampu membuat keputusan besar.

Di Selangor, sukar untuk parti menguasai kerajaan bukan kerana tidak ada parti dominan atau Pakatan belum terbentuk secara formal, tetapi parti itu sendiri masih lagi rapuh dan pemimpinnya masih lagi belum memahami politik secara kukuh. Tapi sekiranya pemimpin kerajaan Pakatan boleh memahami erti politik dan tanggungjawab politik dan boleh berfikir secara politik, saya yakin kerajaan Pakatan boleh melakukan sesuatu yang lebih besar lagi untuk membawa Selangor ke depan selepas 100 hari memerintah.

Saya katakan begitu kerana sehingga setakat ini saya masih belum melihat lagi satu agenda besar kerajaan Pakatan untuk membangun dan mensejahterakan Selangor. Akhirnya, bila saya fikir balik mungkin benar kata orang, mengkritik dan menegur itu lebih mudah dari melaksanakan apa yang dikritik.

Sekarang mungkin lebih ramai berminat untuk melihat berlaku perubahan teraju di peringkat pusat. Ada mendakwa Pakatan yang diterajui Dato' Seri Anwar Ibrahim boleh membuat kejutan.

Jangkaan dan khabar angin dalam politik perkara biasa. Minat orang untuk melihat perubahan juga biasa. Dakwaan Dato' Seri Anwar kemungkinan berlaku perubahan di peringkat kepimpinan pusat juga biasa kerana kemungkinan dalam politik itu adalah sesuatu yang biasa.

Saya dah dengar lama tentang hasrat Dato' Seri Anwar untuk membuat kejutan tapi yang jelasnya, sehingga hari ini kejutan itu masih belum berlaku lagi.

Oleh itu, sehingga saya melihat dengan jelas apa yang mungkin akan berlaku, saya simpan dulu komen saya kepada soalan ini. Justeru ini adalah soalan yang berbentuk kenyataan politik, maka saya juga menjawab dengan kenyataan politik, iaitu dalam politik itu segalanya adalah serba mungkin, dan itu adalah biasa.

Pada masa sama, tidak kurang juga yang menimbulkan perlunya PAS mengadakan kerjasama dengan Umno, dan mungkin membentuk kerajaan campuran BN-PAS. Ya, mungkin atas alasan memperkukuhkan kedudukan Melayu-Islam dalam kerajaan. Masuk akalkah kemungkinan ini?

Kemungkinan dalam politik semuanya masuk akal. Cuma sekarang ini, saya tidak lihat PAS dan BN akan bekerjasama untuk membentuk kerajaan campuran, biarpun atas alasan memperkukuhkan kedudukan Melayu-Islam.

Antara sebabnya ialah masih ada jurang perbezaan pemikiran yang luas antara PAS dan BN setelah lama tidak bersama. Hari ini juga saya lihat PAS lebih selesa bekerjasama dengan parti dalam Pakatan. Lebih penting lagi, suasana politik hari ini memihak kepada PAS untuk tidak berada bersama dalam BN.

SAPP, walaupun hanya mempunyai dua kerusi Parlimen sudah membuat kejutan apabila mengumumkan akan membawa usul tak percaya kepada PM di Parlimen. Apa yang mahu Prof sebutkan tentang polemik terbaru ini?

Saya tidak katakan tindakan SAPP satu kejutan, tetapi satu kehairanan. Ini kerana tiga sebab: Pertama, biasanya, parti yang hanya ada dua kerusi tidak akan membuat kenyataan terbuka untuk membawa usul undi tidak percaya kepada Dewan yang ahlinya adalah seramai 222 orang.

Kedua, biasanya usul tidak percaya dibawa setelah yakin bahawa usul tersebut akan mendapat sokongan majoriti. Dan ketiga, biasanya usul tersebut akan dibawa secara mengejut supaya ia betul-betul menjadi kejutan. Dalam kes SAPP ini, saya tidak nampak ada elemen kejutan.

Dalam sistem politik kita, parti harus kuat dan berpengaruh. Parti-parti komponen Pakatan, terutama PAS dan KeADILan masing-masing sibuk mengukuhkan pengaruh untuk mendapatkan keahlian seramai mungkin terutama orang Melayu. Apakah ini boleh menimbulkan ketegangan antara parti berkenaan?

Merebut pengaruh dan sokongan dalam politik adalah biasa. Biarpun KeADILan dan PAS sama-sama bersaing untuk merebut undi Melayu, saya tidak fikir perebutan ini boleh mewujudkan ketegangan kerana kehendak individu tidak boleh dipaksa. Sokongan dalam politik perlu diperolehi secara semula jadi dan secara sukarela.

Orang Melayu yang menjadi ahli PAS mempunyai minatnya kepada PAS dan yang mahu menjadi ahli KeADILan ada alasan lain kenapa mereka menyokong KeADILan. Minat dan alasan tidak sama. Cuma persamaan antara mereka ialah orang Melayu yang menyokong parti ini tidak minat dan tidak menyokong konsep BN. Jadi saya tidak lihat kenapa perlu wujud ketegangan.

Masih adakah kaedah lain yang lebih efektif bagi memastikan Pakatan tetap mendapat sokongan dalam pilihan raya akan datang?

Banyak kaedahnya untuk mendapat sokongan rakyat. Satu yang pasti ialah tunaikan segala janji pilihan raya yang berada di bawah kuasa kerajaan negeri. Sekiranya ini mampu dilaksanakan dan rakyat melihat Pakatan merupakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan amanah serta dapat menjaga kebajikan rakyat sepertimana yang dijanjikan, maka rakyat tidak akan serik untuk mengundi Pakatan lagi.

Tapi jika janji pilihan raya 2008 hanya sekadar retorik, tidak mustahil rakyat akan membawa keranda untuk menguburkan politik Pakatan ini. Akhirnya, apapun juga parti politik yang kita dokong, sudah sampai masanya semua parti politik menyedari bahawa suara rakyat ini keramat dalam menentukan survival mereka. Oleh itu, semasa berkuasa ini, perkenalkan dasar yang boleh mensejahterakan rakyat.

Berbalik kepada Umno-BN, apakah dalam masa 100 hari ini juga Prof. melihat parti berkenaan berada di atas landasan yang betul bagi melakukan pemulihan?

Saya lihat kerajaan pusat Umno-BN selepas pilihan raya 2008 ini menghadapi banyak cabaran. Selepas gagal mempertahankan kemenangan dengan majoriti dua pertiga, berlaku krisis makanan dan selepas itu kenaikan harga minyak.

Adakah parti ini berada di landasan yang betul, ini sukar dijawab. Tapi secara umum rakyat mahukan supaya kemelut dan tekanan hidup yang mereka hadapi ini diselesaikan dengan cepat oleh rakyat. Saya lihat kerajaan bersungguh dalam mengatasi masalah yang dihadapi, tetapi dalam masa yang sama banyak keputusannya adalah bersifat ad hoc, seperti dibuat secara tergesa-gesa kerana masih ada ruang yang boleh dibahaskan dan perlu diperbaiki.

Kerajaan pusat perlu mengatasi hal ini kerana ini adalah soal rakyat umum yang melampaui batasan kepartian. Sekiranya kerajaan pusat dapat mengeluarkan rakyat dari keperitan hidup akibat krisis ini, maka itulah kejayaan besar Umno-BN selepas 100 hari memerintah.

Bagaimana pula dengan isu kenaikan harga minyak, apa kesannya kepada pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi?

Banyak kesan. Dalam soal ini apapun alasan dan hujah yang diberikan oleh kerajaan, rakyat masih lagi belum menerima realiti kenaikan harga minyak ini.

Rakyat masih belum faham kenapa sebagai sebuah negara pengeluar minyak, negara kita turut terbeban dengan kenaikan harga minyak global. Rakyat masih belum faham dengan hujah penstrukturan semula harga minyak untuk mengurangkan tekanan inflasi.

Rakyat masih yakin dan percaya kepada hujah Pakatan lagi. Sebabnya cuma satu: kerana kenaikan harga minyak ini menjejaskan kehidupan dan memberikan tekanan kewangan kepada mereka.

Kerajaan pusat perlu melihat semula soal ini untuk memberikan penjelasan yang lebih mudah difahami rakyat. Saya fikir soal ini tidak timbul sekiranya rakyat diberi peringatan terlebih dahulu dan masa yang secukupnya untuk bersedia dalam isu yang besar sebegini.

Bagaimana dengan Abdullah? Dengan keadaan yang semakin kalut, apakah beliau perlu meletakkan jawatan seperti disarankan Dr Mahathir?

Soal meletakkan jawatan adalah soal Perdana Menteri untuk menentukannya. Orang lain hanya boleh menyarankan atau mendesak sahaja. Dari segi perlembagaan Pak Lah akan terus menjadi Perdana Menteri sehinggalah Dewan dibubarkan atau beliau hilang kelayakan sebagai ahli Dewan atau beliau mendapat undi tidak percaya di Dewan.

Sehingga hari ini, biarpun pemimpin Pakatan mendakwa akan ada ahli parlimen yang akan menyokong Pakatan untuk membentuk kerajaan pusat, itu masih lagi merupakan kenyataan politik.

Biarpun juga SAPP mengumumkan akan mengusulkan undi tidak percaya di Dewan, tetapi sehingga hari ini, ia masih lagi belum berlaku. Biarpun juga bekas Perdana Menteri mendesak Pak Lah untuk meletakkan jawatan, Pak Lah masih belum meletakkan jawatannya dan sehingga hari ini Pak Lah masih lagi tetap menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Dalam tempoh 100 hari ini juga Dr Mahathir telah bertindak keluar daripada Umno, apakah ia satu peristiwa besar yang mempunyai kesan besar dalam politik Malaysia, atau ia berlalu begitu sahaja?

Tindakan Tun Dr Mahathir keluar Umno pasti ada kesan. Ini bukan kali pertama bekas perdana menteri keluar parti. Sebelum ini pun Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn juga pernah keluar parti. Ia memberi kesan tetapi selepas itu ia berlalu begitu sahaja.

Cuma dalam kes Tun Dr Mahathir ini saya lihat ada kelainan kerana setelah keluar parti beliau masih aktif bergerak bertemu rakyat. Jadi, untuk tempoh terdekat ini, selagi Tun masih aktif, ia meninggalkan kesan kepada parti Umno dan kepimpinan Pak Lah sendiri. - mks._

No comments: