Sunday, July 13, 2008

MEMEGANG AL-QUR’AN DALAM SOLAT


MEMEGANG AL-QUR’AN DALAM SOLAT



Soalan :

Kami lihat ramai orang yang sembahyang terawikh dan membaca al-Qur’an sambil memegang mashaf al-Quran di tangan mereka. Kemudian mereka meletakkannya di dalam baju mereka atau di atas kerusi dan kemudiannya diambil sekali lagi. Apakah pandangan agama tentang perkara ini ?

Jawapan :

Memang diketahui bahawa membaca sedikit daripada al-Qur’an selepas al-Fatihah adalah sunat pada dua rakaat yang pertama dalam sembahyang, sama ada sembahyang berimam atau bersendirian. Jikalau ditinggalkan membacanya, sembahyang itu sah, tetapi kurang pahalanya.

Sekiranya orang yang bersembahyang itu hendak membacanya, eloklah membaca apa yang dihafalnya walaupun diulang pada setiap rakaat dan sembahyang. Namun, apabila hendak membaca ayat yang tidak dihafal, tentu memerlukan kepada mashaf al-Qur’an, jadi adakah harus berbuat demikian?

Diriwayatkan oleh Imam Malik bahawa Zakuan, hamba kepada Saiyidah ‘Aisyah telah menjadi imam pada bulan Ramadhan dan membaca dengan melihat al-Quran. Ini tidak mengapa menurut pendapat mazhab Syafie’, bersyaratkan tidak melakukan pergerakan yang membatalkan sembahyang seperti meletakkan al-Qur’an, kemudian memegang dan membuka untuk membacanya.

Jikalau dilakukan dengan tiga pergerakkan berturut-turut tanpa berhenti, maka sembahyang itu batal. Kadang-kadang meletak al-Qur’an di atas sesuatu yang tinggi di hadapan imam untuk membacanya dapat mengurangkan pergerakkan dan tidak perlu menyelak muka surat al-Qur’an dengan terlalu banyak. Ini kerana kurang menyelak muka surat tidak membatalkan sembahyang. Al-Nawawi telah menyatakan dalam al-Majmu’ “…dan jikalau menyelak muka surat al-Qur’an sekali sekala tidak membatalkan sembahyang.”

Al-Fatawa wa al-Ahkam, Syeikh ‘Atiah Saqar, Ketua Lujnah Fatwa al-Azhar, Mesir

No comments: