Saturday, July 12, 2008

NEGARA KU


Takut Menggantikan Aman

Salam Perubahan,

Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur tadi,saya membeli senaskhah akhbar METRO untuk tatapan mengisi masa yang terluang menunggu waktu berlepas. Tengah menyelak helai demi helai akhbar tersebut mata terpaku pada berita ‘USTAZAH DITANGKAP KHALWAT’. Darah menyirap ke kepala, hati tersentak, betulkah apa yang sedang ditatap.

Fakta penting ; ustazah ni bakal dinaikkan pangkat sebagai pengetua sebuah sekolah. Pasangannya pula adalah seorang pegawai kanan pusat latihan terkenal. Saya mengurut dada dan tertanya-tanya apakah yang akan terjadi dengan Negara ini. Muka hadapan METRO 10 Julai pula menyiarkan berita ‘ISTERI BAWA MAYAT SUAMI KE BALAI POLIS’. Kisahnya, suami ditembak mati dalam kereta di hadapan orang ramai. Negara ini dah nak jadi Negara MAFIA gamaknya. Na’uzubilLah.

Inilah diantara bala Allah SWT yang berlaku akibat keengkaran dan kedegilan manusia untuk kembali kepada syariat Allah SWT. Ustazah yang sememangnya dimaklumi dari lulusan agama melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya. Tragedi pembunuhan berlaku sewenang-wenangnya. Inilah nikmat keamanan yang dicabut Allah daripada umat ini lalu diganti dengan ketakutan dan kerisauan. Kalau masa dulu tempat yang paling selamat bagi anak dara adalah di rumah mereka, namun hari ini tempat yang paling tidak selamat adalah di rumah mereka sendiri. Berita dalam akhbar hari ini (10 Julai), seorang remaja perempuan dirogol ayah dan abang kandungnya sendiri.

Demikian Allah membala dan mengazab umat ini. Dan azab ini dirasakan Allah sebelum kita berangkat ke akhirat lagi. Semuanya akibat perbuatan tangan kita sendiri. Supaya kita rasakan pedihnya.

Kita semua bertanggungjawab menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar. Bebanan dakwah terpikul di atas bahu kita. Walau kita berpolitik dan menyertai parti politik sekalipun, kita tidak boleh lari dari asas ini. Kita berpolitik adalah untuk mencapai cita-cita dakwah untuk mendidik diri dan rakyat supaya taat kepada Allah. Benarlah bahawa kuasa politik sangat perlu di zaman ini untuk laksanakan perintah Allah. Ulama’ mesti diangkat sebagai pemimpin. Ulama’ mesti berperanan. Ulama’ mesti didokong. Ini adalah kerana merekalah yang paling takut pada Allah SWT.

Posted by Pak Sheikh Yussaine at 2:03 AM 0 comments

SEHARI SATU HADIS


Hadith 1

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata: Rasululullah s.a.w. bersabda: Api neraka telah dinyalakan selama seribu tahun sehingga merah, kemudian dilanjutkanseribu tahun sehingga putih, kemudian dilanjutkan seribu tahun hingga hitam gelap bagaikan malam yang gelap kelam.

Diriwayatkan bahawa Yazid bin Martsad selalu menangis sehingga tidak pernah kering airmatanya, dan ketika ditanya jawabnya, :"Andaikata ALLAH mengancam akan memenjarakan aku bila berdosa dalam kamar mandi selama seribu tahun, nescaya sudah selayaknya airmata ku tidak berhenti maka bagaimana kini telah mengancam akan memasukkan aku dalam api neraka selama tiga ribu tahun."

SUmber: Tanbihul Ghafilin





________________________________________
Hadith 2

عَنْ سَهْلِ بْنِ مُعَاذِ بْنِ أَنَسٍ عَنْ أَبِيهِ
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الْعَامِلِ


Ibnu Majah meriwayatkan daripada Sahal Bin Mu'az bin Anas, daripada bapanya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (mafhumnya): " Barangsiapa yang mengajarkan satu ilmu maka baginya pahala orang yang mengamalkannya sedangkan tidak mengurangkan pahala orang yang mengamalkannya."

Hadith Shohih Sunan Ibnu Majah.

Friday, July 11, 2008

PEMIKIRAN SU AKHBAR TOK GURU


Dengarlah rungutan rakyat akibat kos sara hidup yang menekan
Roslan SMS
Thu | Jul 03, 08 | 10:24:11 pm MYT

Sehingga ke hari ini rakyat terus memperkatakan darihal isu kenaikan kos hidup yang teruk melanda mereka rentetan dari kenaikan harga minyak petrol dan komoditi tempoh hari.

Sesungguhnya kehidupan rakyat disemua peringkat dari petani dan nelayan sehinggalah buruh, pekerja kilang, kerani, eksekutif, kakitangan dan pegawai kerajaan, kesemuanya terjejas hasil dari krisis ini.

Dalam ucapannya semasa membenatangkan "Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia ke Sembilan" Perdana Menteri membayangkan serisunya suasana ini sehingga menyebut bahawa kesan dari kenaikan ini dan ketidaktentuan yang disebabkan oleh faktor-faktor luaran, kerajaan menghadapi masalah melindungi rakyatnya.

Bagi mereka yang memiliki kudrat dan masa lapang mungkin pekerjaan sambilan atau perniagaan kecil-kecilan boleh diusahakan bagi menampung kelompongan akibat kenaikan kos hidup ini.

Itupun mungkin terpaksa mengorbankan apa sahaja masa yang sepatutnya terluang untuk kaum keluarga yang dikasihi.

Bagaimana agaknya warga emas, terutama mereka yang bergantung hidup atas pencen yang dibayar oleh pihak kerajaan.

Kita sebenarnya sibuk memikirkan masalah yang menimpa kita sehingga terkadang terlupa akan golongan ini.

Para pesara kerajaan yang telah berkhidmat untuk bangsa dan negara seakan terpinggir dalam negara memikirkan bagaimana mahu mengatasi kemelut yang besar lagi meruncing ini.

Jika kita yang masih gagah dan segar-bugar ini merasa tertekan akibat kenaikan kos hidup yang "menggila" ini, bagaimana agaknya mereka yang tidak ada sumber lain melainkan bergantung kepada bayaran pencen kerajaan itu.

Amalan di Malaysia adalah para pesara yang cukup tempuh akan menerima pencen bulanan kira-kira 50peratus dari gaji pokok terakhir yang diterima.

Ini bermakna sekiranya gaji pokok terakhir seseorang itu adalah RM800.00 ia akan hidup dengan pendapatan RM400 sepanjang usianya bersama isteri meniti sisa-sisa hidup masing-masing.

Naiklah harga minyak dan barangan berpuluh-puluh peratus sekalipun, sipesara tadi akan tetap hidup dalam keadaan demikian.

Akhirnya selain dari rakyat miskin yang sedia ada, para pesara kita juga nanti akan terjerumus menjadi jumlah tambahan kepada angka itu mungkin ada sebahagiannya masuk ke dalam kategori miskin tegar.

Keprihatinan pihak kerajaan dalam hal ini sangat penting, memandangkan situasi yang menimpa golongan ini.

Pilihannya kita samada membela mereka atau membiarkan mereka melarat dan sengsara.

Di sebahagian negara-negara dirantau ini kadar pencen yang dibayar jauh melebihi apa yang kita bayar, mungkin mengambil kira faktor kenaikan kos hidup dan seumpamanya.

Di Singapura dan Sri Lanka contohnya, kakitangan kerajaan yang bersara dibayar pencen 100peratus dari gaji pokok terakhir mereka, manakala di China, Korea Selatan dan Jepun mereka dibayar pada kadar 80 peratus.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK9 yang dibetangkan oleh Perdana Menteri menyarankan agar pihak kerajaan menimbang semula kadar pencen ini dengan mengambil kira situasi semasa.

Jika tidak pun kadar itu dinaikkan dari 90 ke 100 peratus sekurang-kurangnya kenaikkan 60 ke 75 peratus pasti meringankan beban mereka yang berada pada kategori ini.

Ianya mungkin memerlukan belanja tambahan, tetapi dengan penangguhan beberapa projek mega yang diumumkan oleh pihak kerajaan itu dan beberapa langkah penjimatan drastik, sekurang-kurangnya penjimatan itu bolehlah disalurkan ke arah golongan yang sangat memerlukan ini.

(Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar Presiden PAS)_

BICARA CENDIKIAWAN


Elak rakyat bawa keranda...
Ahmad Lutfi Othman
Fri | Jul 11, 08 | 7:52:47 am MYT

Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff ternyata tokoh terbaik untuk mengulas pemerintahan 100 hari kerajaan Pakatan Rakyat. Rumusannya seimbang dan menyeluruh. Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia ini memberikan tumpuan terhadap kerajaan negeri Selangor, selain mengemukakan cadangan praktikal untuk melakukan penambahbaikan. Ikuti wawancara sidang wartawan Harakah dengannya baru-baru ini.

HARAKAH: Rata-rata kini orang bercakap penilaian terhadap 100 hari empat kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Pentingkah penilaian dalam tempoh yang singkat ini?

AGUS: Menilai kerajaan yang baru dibentuk dalam masa seratus hari adalah mustahak, bukan untuk menilai keberkesanan pemerintahan, tetapi untuk melihat tentang perancangannya setelah baru dipilih rakyat. Jika setelah seratus hari memerintah masih belum ada blue print dan dasar yang jelas untuk mentadbir negeri, maka ada dua kemungkinan awal yang boleh ditanggap: sama ada kerajaan yang dibentuk itu tidak stabil untuk merancang atau lemah untuk merancang.

Apa signifikannya penilaian 100 hari terhadap survival kerajaan baru yang memerintah?

ImageTempoh ini tentunya signifikan dalam lima perkara utama: Pertama, ia penting untuk membolehkan kerajaan Pakatan merapatkan persefahaman dan kerjasama bagi membentuk kerajaan yang stabil.

Kedua, ia penting untuk memberi ruang secukupnya kepada parti dalam Pakatan bertolak ansur membahagikan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan yang dikuasainya supaya memuaskan hati semua pihak.

Ketiga, ia penting untuk melihat sejauh manakah dasar-dasar pemerintahan dapat dipersetujui bersama antara kesemua parti yang bergabung dalam Pakatan. Ini kerana sekiranya dasar pemerintahan tidak dapat dipersetujui bersama, maka kerajaan yang baru dibentuk itu boleh tumbang.

Keempat, ia penting untuk melihat penerimaan dan reaksi rakyat kepada barisan kepimpinan dan juga dasar kerajaan yang baru diperkenalkan.

Kelima, ia penting untuk membolehkan kerajaan yang baru dibentuk meyakinkan rakyat bahawa mereka dapat berkhidmat dengan baik dan memperkenalkan polisi-polisi yang menguntungkan rakyat.

Harus dingat juga bahawa tempoh 100 hari ini bukan untuk menilai keberkesanan dasar kerajaan baru, tetapi untuk melihat bentuk perancangan kerajaan baru dan dasar baru yang diperkenalkan.

Biasanya kerajaan yang baru dibentuk ini bersemangat tinggi dan selalunya dapat memberikan kesan yang positif kepada dan popular kepada rakyat. Tetapi selepas setahun dua memerintah, rakyat sudah boleh membuat penilaian dan ketika ini penerimaan rakyat mungkin sudah berbeza.

Namun ada yang bertanya balik, adilkah kita menilai dalam tempoh yang begitu singkat sedangkan BN, sebelumnya Perikatan, sudah memerintah lebih 50 tahun?

Soal adil tidak timbul kerana kita bukannya membandingkan kerajaan Pakatan Rakyat di empat negeri yang baru memerintah dengan kerajaan BN yang telah 50 tahun memerintah.

Seperti saya katakan di atas, tempoh ini bukannya waktu untuk kita menilai kehebatan atau kelemahan kerajaan baru, tetapi hendak mengetahui apakah yang telah dibuat dalam masa 100 hari tersebut dan apakah lagi yang hendak dibuat seterusnya dalam tempoh lima tahun berbaki yang masih ada.

Kerajaan yang berwawasan, tidak kira lama atau baru pastinya mempunyai agenda pembangunan untuk rakyat. Maka dalam tempoh inilah, rakyat mahu melihat perancangannya, bukan menilai keberkesanannya. Jadi dalam soal ini, soal adil atau tidak bukan isu yang perlu dipolemikkan.

Sejauhmanakah Pakatan Rakyat dapat menunaikan janji manifesto mereka dalam masa 100 hari ini?

Masa 100 hari belum membolehkan seseorang menilai keupayaan Pakatan secara menyeluruh dalam melaksanakan janjinya. Tapi yang jelas sudah ada keluhan rakyat tentang ketidapupayaan Pakatan untuk melaksanakan perkara asas yang dijanjikan dalam manifesto yang lepas.

Sekadar khabar angin yang saya dengar dan berita yang saya baca, Pakatan hanya memberikan bayaran RM1000 kepada pelajar miskin yang memasuki institusi pengajian tinggi sedangkan janji ini seperti yang terdapat dalam manifesto pilihan raya adalah untuk semua rakyat Selangor yang berjaya memasuki IPT.

Begitu juga dengan cukai pintu yang masih belum diturunkan dan bekalan air percuma untuk 20 meter padu yang rakyat masih belum merasai lagi biarpun rakyat diberitahu akan dikecualikan dalam bil bulan depan. Kita tunggulah bagaimana pelaksanaannya.

Harapnya dalam soal ini Pakatan tidak sekadar berjanji sahaja kerana rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan Pakatan ini untuk membantu meringankan beban mereka.

Sekiranya Pakatan gagal melaksanakan janjinya, maka perjuangan Pakatan untuk rakyat itu hanyalah satu lagi janji dan permainan politik yang tentunya mengecewakan rakyat. Saya harap rakyat tidak dikecewakan!

Ada pihak berpendapat janji-janji seperti bantuan RM1000 untuk pelajar baru IPTA, bekalan air percuma, penurunan cukai pintu hanya menebalkan mentaliti subsidi?

ImageApa kaitan bantuan kerajaan kepada rakyat dengan mentaliti subsidi? Saya tidak faham kenapa apabila rakyat memohon bantuan dan pertimbangan kerajaan untuk meringankan beban mereka, maka kita katakan rakyat bermentaliti subsidi.

Anggapan sebegini amat tidak adil kepada rakyat miskin yang mengharapkan kerajaan untuk membantu mereka. Saya kira dari segi falsafah pun, istilah 'subsidi' dan 'bantuan' kerajaan itu perlu dibezakan, apatah lagi dengan istilah 'mentaliti subsidi.' Jangan perlekehkan rakyat sampai ke tahap itu.

Kita kena tahu rakyat memilih kerajaan untuk membolehkan kerajaan memikirkan masalah rakyat dan membantu rakyat. Jadi kalau tuntutan rakyat supaya kerajaan membantu mereka pun dianggap sebagai 'rakyat bermentaliti subsidi', saya kira ini adalah satu tanggapan yang silap. Membantu meringankan beban dan mensejahterakan rakyat adalah tanggungjawab kerajaan yang diberi amanah oleh rakyat yang memilih mereka.

Jika kerajaan hanya mahu menjadi kerajaan yang tahu mengutip cukai sahaja sehingga membebankan rakyat, dan kerajaan tidak tahu mencari wang untuk menjana pendapatan negeri, maka lebih baik tidak usah memerintah. Slogan seperti rakyat bermentaliti subsidi seperti sudah menjadi satu penyakit kepada semua kerajaan-sama ada pusat atau negeri-apabila rakyat memohon supaya kesejahteraan mereka dipedulikan.

Saya harap istilah rakyat 'bermentaliti subsidi' sekiranya rakyat memohon bantuan kerajaan ini tidak digunakan lagi. Ia seperti rakyat yang miskin sering dipersalahkan. Tanggapan begini tentunya mengecewakan rakyat.

Antara tarikan manifesto Pakatan Rakyat ialah konsep negara kebajikan. Dalam bidang kuasa kerajaan negeri, rakyat tentunya tidak mendesak agar harga bahan api dikurangkan, tetapi bagaimana dengan hal-hal yang sememangnya boleh dilakukan oleh kerajaan negeri?

Saya yakin rakyat tahu mana satu bidang kuasa kerajaan negeri dan mana satu bidang kuasa kerajaan pusat. Rakyat tahu soal penentuan harga minyak itu kuasa kerajaan pusat dan oleh itu rakyat tidak akan mendesak kerajaan negeri menurunkan harga bahan bakar tersebut. Jadi saya tidak hendak bincangkan tentang kerajaan pusat. Persoalannya bagaimana dengan hal-hal yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri?

Semua tahu Selangor merupakan sebuah negeri kaya. Jadi tentunya kerajaan negeri juga mampu menjaga kebajikan rakyat. Tapi nak jaga macam mana kalau hendak bayar RM1000 seperti yang dijanjikan kepada semua pelajar Selangor yang dapat ke IPT pun sudah sukar dilaksanakan. Inilah yang merisaukan saya, soal yang tak perlu jadi isu pun sudah menjadi isu. Banyak yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban rakyat bagi menjayakan konsep negara kebajikannya.

Antaranya ialah kerajaan negeri perlu memenuhi keperluan asas rakyat seperti perumahan, kesihatan, pendidikan dan makanan. Tentunya kerajaan negeri akan kata cadangan ini tidak logik kerana apa yang saya nyatakan di atas adalah dalam bidang kuasa kerajaan pusat, tetapi sebagai negeri yang hendak menjayakan konsep negara kebajikan, kerajaan perlu fikir mekanisme untuk membantu mereka yang tinggal di Selangor ini merasai nikmat menetap di negeri yang kaya.

Saya yakin mekanismenya boleh difikirkan sekiranya kerajaan bersungguh untuk menjayakan konsep negara kebajikannya, tetapi hendak fikir macam mana kalau hendak memberi wang kepada pelajar yang memasuki IPT pun sudah menjadi isu.

Bagaimana janji-janji seperti good governance, ketelusan, antirasuah dapat dinilai dalam tempoh berkenaan?

Tempoh 100 hari masih sukar untuk menilai penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Pemimpin besar dunia dan kerajaan di dunia ini tidak melakukan kesilapan besar yang melibatkan tadbir urus dalam masa singkat pemerintahan mereka, tetapi setelah masuk ke tahap pelaksanaan, sebarang penyelewengan, jika ada akan dapat dikesan. Sehingga ke tahap ini, saya melihat keikhlasan kerajaan negeri untuk menjalankan pemerintahan dengan tadbir urus yang baik, telus dan antirasuah. Semoganya hal ini dapat diterus dan dikekalkan.

Bagaimana pula dengan kualiti wakil-wakil rakyat Pakatan?

ImageSatu yang jelas dengan wakil rakyat Pakatan ialah mereka dilihat bersih dan komited untuk membantu rakyat melalui suara mereka. Saya menyatakan ini berdasarkan kepada pengamatan saya melalui ucapan, ceramah, perbualan dan gaya hidup mereka.

Kenyataan akhbar mereka juga menunjukkan bahawa mereka adalah komited dalam perjuangan untuk mewujudkan kerajaan yang telus dan terbuka. Kesediaan mereka menghadapi risiko dengan menghadiri demonstrasi yang dianjurkan tanpa permit untuk menyuarakan bangkangan mereka kepada sesuatu isu rakyat juga menunjukkan mereka mempunyai kualiti sebagai seorang pejuang.

Namun, pengamatan saya juga menunjukkan mereka gagal untuk membantu rakyat yang mendatangi mereka secara bersemuka untuk mendapatkan bantuan wang segera bagi membeli keperluan harian dan lain-lain yang berkaitan. Soal tidak cukup wang satu hal, tapi soal berjiwa halus untuk mengongsi kesusahan dengan rakyat, itu saya kira kelebihan ada pada wakil rakyat BN.

Apa yang nyata, soal personal touch sebagai wakil rakyat ini, saya lihat wakil rakyat BN lebih berjaya. Jadi dalam soal ini, sementara wakil rakyat BN lebih merakyat untuk membantu rakyat secara terus, wakil rakyat Pakatan pula lebih merakyat untuk menyampaikan suara rakyat bagi mendapat perhatian kerajaan. Kedua-duanya ada peranan dan kualiti tetapi dari aspek yang berbeza.

Ada pandangan mengatakan wakil rakyat tidak perlu menjadi Santa Claus kepada pengundi yang memilihnya, cukuplah dengan diaktifkan, misalnya Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mungkin Prof. ada pandangan berbeza.

Jika di negara Barat memang betul wakil rakyat tidak perlu menjadi Santa Claus. Ini kerana segala keperluan rakyat dijaga oleh pegawai dan jabatan kerajaan. Di negara Barat, kerajaan betul-betul berfungsi sebagai penggubal polisi dan undang-undang sahaja. Tetapi senario di negara kita berbeza.

Allahyarham Dato' Mohd Asri pernah berkata, wakil rakyat yang berjaya ialah mereka yang bersedia untuk menjadi welfare officer. Kita memang boleh berhujah bahawa pendapat Asri itu mungkin relevan 20 atau 30 tahun dahulu tetapi tidak lagi dalam dunia globalisasi sekarang.

Apa pun hujahnya, di Malaysia wakil rakyat tidak sama seperti di Barat kerana tugas menjaga kebajikan rakyat, menghadiri majlis kenduri, menziarahi rakyat sakit demam masih lagi merupakan sebahagian dari tanggungjawab rutin wakil rakyat.

Sehinggalah kita menukarkan sistem pilihan raya kita dengan rakyat hanya memilih keupayaan dan merit calon sahaja sebagai wakil mereka, maka wakil rakyat tetap perlu menjadi Santa Claus kepada pengundi yang memilihnya. Saya lihat wakil rakyat BN lebih berjaya berbanding dengan wakil rakyat Pakatan dalam soal ini.

Soal untuk menyerahkan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat ini jangan dijadikan escapism oleh wakil rakyat Pakatan untuk tidak menjaga rakyat. Bagaimana hendak menjayakan konsep negara kebajikan sekiranya wakil rakyat sendiri tidak ada personal touch untuk menyelami masalah rakyat. Lagipun saya perhatikan Jabatan Kebajikan ini terlalu red tape dan sukar untuk memberikan bantuan sekiranya tidak ada sentuhan wakil rakyat.

Kerajaan negeri Pakatan mungkin mendakwa mereka kekurangan dana dan mempunyai keterbatasan untuk melunasi janji-janji.

Kerajaan yang bijak dan berkesan boleh memikirkan pelbagai cara untuk menjana pendapatan negeri. Kalau kerajaan negeri boleh mengkritik kerajaan pusat dan boleh mencadangkan kepada kerajaan pusat kaedah untuk menjana pendapatan negara, maka kerajaan negeri juga perlu memikirkan caranya untuk menambah dana negeri. Selangor adalah sebuah negeri yang kaya dan soal kekurangan dana bukan alasannya untuk tidak melunasi janji-janji plihan raya bagi mensejahterakan rakyat.

Sekarang timbul saranan agar konsep parti menguasai kerajaan dipraktikkan. Soalnya bagaimana ia boleh dilaksanakan sewaktu Pakatan Rakyat belum dapat dibentuk secara formal?

Soal ini sudah banyak diperkatakan. Untuk apa parti menguasai kerajaan jika pemimpin parti tidak berjiwa politik, sama seperti sikap dan perangai pegawai kerajaan sahaja. Pemimpin yang hebat mesti mampu membuat keputusan besar.

Di Selangor, sukar untuk parti menguasai kerajaan bukan kerana tidak ada parti dominan atau Pakatan belum terbentuk secara formal, tetapi parti itu sendiri masih lagi rapuh dan pemimpinnya masih lagi belum memahami politik secara kukuh. Tapi sekiranya pemimpin kerajaan Pakatan boleh memahami erti politik dan tanggungjawab politik dan boleh berfikir secara politik, saya yakin kerajaan Pakatan boleh melakukan sesuatu yang lebih besar lagi untuk membawa Selangor ke depan selepas 100 hari memerintah.

Saya katakan begitu kerana sehingga setakat ini saya masih belum melihat lagi satu agenda besar kerajaan Pakatan untuk membangun dan mensejahterakan Selangor. Akhirnya, bila saya fikir balik mungkin benar kata orang, mengkritik dan menegur itu lebih mudah dari melaksanakan apa yang dikritik.

Sekarang mungkin lebih ramai berminat untuk melihat berlaku perubahan teraju di peringkat pusat. Ada mendakwa Pakatan yang diterajui Dato' Seri Anwar Ibrahim boleh membuat kejutan.

Jangkaan dan khabar angin dalam politik perkara biasa. Minat orang untuk melihat perubahan juga biasa. Dakwaan Dato' Seri Anwar kemungkinan berlaku perubahan di peringkat kepimpinan pusat juga biasa kerana kemungkinan dalam politik itu adalah sesuatu yang biasa.

Saya dah dengar lama tentang hasrat Dato' Seri Anwar untuk membuat kejutan tapi yang jelasnya, sehingga hari ini kejutan itu masih belum berlaku lagi.

Oleh itu, sehingga saya melihat dengan jelas apa yang mungkin akan berlaku, saya simpan dulu komen saya kepada soalan ini. Justeru ini adalah soalan yang berbentuk kenyataan politik, maka saya juga menjawab dengan kenyataan politik, iaitu dalam politik itu segalanya adalah serba mungkin, dan itu adalah biasa.

Pada masa sama, tidak kurang juga yang menimbulkan perlunya PAS mengadakan kerjasama dengan Umno, dan mungkin membentuk kerajaan campuran BN-PAS. Ya, mungkin atas alasan memperkukuhkan kedudukan Melayu-Islam dalam kerajaan. Masuk akalkah kemungkinan ini?

Kemungkinan dalam politik semuanya masuk akal. Cuma sekarang ini, saya tidak lihat PAS dan BN akan bekerjasama untuk membentuk kerajaan campuran, biarpun atas alasan memperkukuhkan kedudukan Melayu-Islam.

Antara sebabnya ialah masih ada jurang perbezaan pemikiran yang luas antara PAS dan BN setelah lama tidak bersama. Hari ini juga saya lihat PAS lebih selesa bekerjasama dengan parti dalam Pakatan. Lebih penting lagi, suasana politik hari ini memihak kepada PAS untuk tidak berada bersama dalam BN.

SAPP, walaupun hanya mempunyai dua kerusi Parlimen sudah membuat kejutan apabila mengumumkan akan membawa usul tak percaya kepada PM di Parlimen. Apa yang mahu Prof sebutkan tentang polemik terbaru ini?

Saya tidak katakan tindakan SAPP satu kejutan, tetapi satu kehairanan. Ini kerana tiga sebab: Pertama, biasanya, parti yang hanya ada dua kerusi tidak akan membuat kenyataan terbuka untuk membawa usul undi tidak percaya kepada Dewan yang ahlinya adalah seramai 222 orang.

Kedua, biasanya usul tidak percaya dibawa setelah yakin bahawa usul tersebut akan mendapat sokongan majoriti. Dan ketiga, biasanya usul tersebut akan dibawa secara mengejut supaya ia betul-betul menjadi kejutan. Dalam kes SAPP ini, saya tidak nampak ada elemen kejutan.

Dalam sistem politik kita, parti harus kuat dan berpengaruh. Parti-parti komponen Pakatan, terutama PAS dan KeADILan masing-masing sibuk mengukuhkan pengaruh untuk mendapatkan keahlian seramai mungkin terutama orang Melayu. Apakah ini boleh menimbulkan ketegangan antara parti berkenaan?

Merebut pengaruh dan sokongan dalam politik adalah biasa. Biarpun KeADILan dan PAS sama-sama bersaing untuk merebut undi Melayu, saya tidak fikir perebutan ini boleh mewujudkan ketegangan kerana kehendak individu tidak boleh dipaksa. Sokongan dalam politik perlu diperolehi secara semula jadi dan secara sukarela.

Orang Melayu yang menjadi ahli PAS mempunyai minatnya kepada PAS dan yang mahu menjadi ahli KeADILan ada alasan lain kenapa mereka menyokong KeADILan. Minat dan alasan tidak sama. Cuma persamaan antara mereka ialah orang Melayu yang menyokong parti ini tidak minat dan tidak menyokong konsep BN. Jadi saya tidak lihat kenapa perlu wujud ketegangan.

Masih adakah kaedah lain yang lebih efektif bagi memastikan Pakatan tetap mendapat sokongan dalam pilihan raya akan datang?

Banyak kaedahnya untuk mendapat sokongan rakyat. Satu yang pasti ialah tunaikan segala janji pilihan raya yang berada di bawah kuasa kerajaan negeri. Sekiranya ini mampu dilaksanakan dan rakyat melihat Pakatan merupakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan amanah serta dapat menjaga kebajikan rakyat sepertimana yang dijanjikan, maka rakyat tidak akan serik untuk mengundi Pakatan lagi.

Tapi jika janji pilihan raya 2008 hanya sekadar retorik, tidak mustahil rakyat akan membawa keranda untuk menguburkan politik Pakatan ini. Akhirnya, apapun juga parti politik yang kita dokong, sudah sampai masanya semua parti politik menyedari bahawa suara rakyat ini keramat dalam menentukan survival mereka. Oleh itu, semasa berkuasa ini, perkenalkan dasar yang boleh mensejahterakan rakyat.

Berbalik kepada Umno-BN, apakah dalam masa 100 hari ini juga Prof. melihat parti berkenaan berada di atas landasan yang betul bagi melakukan pemulihan?

Saya lihat kerajaan pusat Umno-BN selepas pilihan raya 2008 ini menghadapi banyak cabaran. Selepas gagal mempertahankan kemenangan dengan majoriti dua pertiga, berlaku krisis makanan dan selepas itu kenaikan harga minyak.

Adakah parti ini berada di landasan yang betul, ini sukar dijawab. Tapi secara umum rakyat mahukan supaya kemelut dan tekanan hidup yang mereka hadapi ini diselesaikan dengan cepat oleh rakyat. Saya lihat kerajaan bersungguh dalam mengatasi masalah yang dihadapi, tetapi dalam masa yang sama banyak keputusannya adalah bersifat ad hoc, seperti dibuat secara tergesa-gesa kerana masih ada ruang yang boleh dibahaskan dan perlu diperbaiki.

Kerajaan pusat perlu mengatasi hal ini kerana ini adalah soal rakyat umum yang melampaui batasan kepartian. Sekiranya kerajaan pusat dapat mengeluarkan rakyat dari keperitan hidup akibat krisis ini, maka itulah kejayaan besar Umno-BN selepas 100 hari memerintah.

Bagaimana pula dengan isu kenaikan harga minyak, apa kesannya kepada pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi?

Banyak kesan. Dalam soal ini apapun alasan dan hujah yang diberikan oleh kerajaan, rakyat masih lagi belum menerima realiti kenaikan harga minyak ini.

Rakyat masih belum faham kenapa sebagai sebuah negara pengeluar minyak, negara kita turut terbeban dengan kenaikan harga minyak global. Rakyat masih belum faham dengan hujah penstrukturan semula harga minyak untuk mengurangkan tekanan inflasi.

Rakyat masih yakin dan percaya kepada hujah Pakatan lagi. Sebabnya cuma satu: kerana kenaikan harga minyak ini menjejaskan kehidupan dan memberikan tekanan kewangan kepada mereka.

Kerajaan pusat perlu melihat semula soal ini untuk memberikan penjelasan yang lebih mudah difahami rakyat. Saya fikir soal ini tidak timbul sekiranya rakyat diberi peringatan terlebih dahulu dan masa yang secukupnya untuk bersedia dalam isu yang besar sebegini.

Bagaimana dengan Abdullah? Dengan keadaan yang semakin kalut, apakah beliau perlu meletakkan jawatan seperti disarankan Dr Mahathir?

Soal meletakkan jawatan adalah soal Perdana Menteri untuk menentukannya. Orang lain hanya boleh menyarankan atau mendesak sahaja. Dari segi perlembagaan Pak Lah akan terus menjadi Perdana Menteri sehinggalah Dewan dibubarkan atau beliau hilang kelayakan sebagai ahli Dewan atau beliau mendapat undi tidak percaya di Dewan.

Sehingga hari ini, biarpun pemimpin Pakatan mendakwa akan ada ahli parlimen yang akan menyokong Pakatan untuk membentuk kerajaan pusat, itu masih lagi merupakan kenyataan politik.

Biarpun juga SAPP mengumumkan akan mengusulkan undi tidak percaya di Dewan, tetapi sehingga hari ini, ia masih lagi belum berlaku. Biarpun juga bekas Perdana Menteri mendesak Pak Lah untuk meletakkan jawatan, Pak Lah masih belum meletakkan jawatannya dan sehingga hari ini Pak Lah masih lagi tetap menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Dalam tempoh 100 hari ini juga Dr Mahathir telah bertindak keluar daripada Umno, apakah ia satu peristiwa besar yang mempunyai kesan besar dalam politik Malaysia, atau ia berlalu begitu sahaja?

Tindakan Tun Dr Mahathir keluar Umno pasti ada kesan. Ini bukan kali pertama bekas perdana menteri keluar parti. Sebelum ini pun Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn juga pernah keluar parti. Ia memberi kesan tetapi selepas itu ia berlalu begitu sahaja.

Cuma dalam kes Tun Dr Mahathir ini saya lihat ada kelainan kerana setelah keluar parti beliau masih aktif bergerak bertemu rakyat. Jadi, untuk tempoh terdekat ini, selagi Tun masih aktif, ia meninggalkan kesan kepada parti Umno dan kepimpinan Pak Lah sendiri. - mks._

Thursday, July 10, 2008

BICARA TOK GURU MB


Pilih Pakatan Rakyat ganti kerajaan Umno/BN
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Thu | Jul 10, 08 | 4:35:35 pm MYT

Permintaan Umno supaya "Yang di-Pertuan Agong campurtangan bagi menangani penghakisan hak-hak keistimewaan bumiputera" (Utusan Malaysia, 8 Julai 2008) ibarat mengesahkan satu perkara sahaja iaitu Umno yang telah mengangkat kedua-dua belah tangan.

Dia sendiri telah secara muktamad mengesahkan kegagalan parti itu sebagai pembela orang Melayu. Sudah selama 50 tahun dia membela(?).

Nasib orang Melayu menjunam dalam hampir semua pentas; agama, bangsa, tanah dan air.

Bertolak dari kegagalan agama yang boleh disukat melalui pemisahan pemerintahan dengan Islam, menukar Islam sejati dengan Islam Hadhari, gejala ratusan ribu umat Islam yang murtad, sejuta penagih dadah, bangsa Melayu yang kekacauan identiti dan jati diri dari segi bahasa, adat, budaya dan budi; tanah rezab Melayu yang semakin susut serta terjual dan tergadainya tanah, air dan pasir dalam bentuk pukal akibat rundingan dan perjanjian yang tidak cermat dengan negara jiran.

Jika orang Umno asyik minta Yang Di-Pertuan Agong campur tangan untuk memperbetulkan setiap kali kesalahan yang dibuat mereka, sedarkah Umno bahawa Yang di-Pertuan Agong inipun adalah Raja bagi seluruh warganegara.

Apa kata jika mereka pun mengangkat memorandum balas membantah dasar-dasar diskriminasi Umno terhadap segala ketidakadilan Umno.

Ini semua bertolak dari perletakan paksi perjuangan yang salah. Jika Umno dari awal tidak meletakkan paksi bangsa dalam perjuangannya, bahkan meletakkan Islam sebagai asas, saya percaya keadaan tidak jadi setenat ini.

Apabila Umno membesar-besarkan bangsa, mengibar keris telanjang, mengacah dan mengucup keris berterusan, orang bukan Melayupun boleh gerun.

Apabila naluri manusia terasa terancam, mereka pada logiknya juga akan menggunakan sentimen bangsa sebagai perisai pertahanan yang sama. Mereka akan mengumpul dan menggunakan persamaan dan perkongsian sentimen sebagai benteng pertahanan.

Ini segala-galanya berpunca dari Umno. Sebab itu, polemik mengenai perpaduan nasional tidak pernah selesai.

Jika Islam yakin bahawa kaedah pengagungan bangsa adalah formula yang tepat, sudah lama Nabi SAW menggunakan keunggulan suku bangsa Quraisy sebagai tunjang perpaduan kaum. Semua orang diwajibkan menerima Quraisy segagai bangsa "superior".

Soalnya, kenapa Nabi Junjungan kita tidak memilih berbuat begitu?

Bahkan sebaliknya, Baginda menempelak asobiyah bangsa dengan sepotong sabda bermaksud, "tiada kelebihan bangsa Arab atas bangsa �Ajam kecuali dengan taqwa."

Kini sesudah 50 tahun, tanpa diatur dan ditunjuk-tunjuk oleh pemimpin Umno sekalipun, orang Melayu sudah lama tahu punca silapnya orang Melayu.

Mereka sangat tahu bahawa kegagalan ini disebabkan pengkhianatan pemimpin Umno dahulu dan sekarang yang tergamak memperkuda dan memperhambakan Melayu sesama Melayu.

Berselindung di sebalik istilah bumiputera, mereka (Umno) ratah daging dan darah sesama Melayu. Jika adapun usaha, mereka cuma berminat mengada-adakan projek yang boleh memperkayakan segelintir pemimpin Umno dan kroni.

Lihat sahaja isu di sekitar penjualan pasir satu waktu dulu, penguasaan saham di ECM Libra, Scomi, pembelian bas-bas RapidKL, isu kapal selam, siapa berada dibelakang Bernas dan terkini pula berbangkit soal tuduhan penglibatan pemimpin Umno dalam kontrak pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang atau disebut LCCT.

Saya cuma sedut beberapa contoh untuk sekadar menggambarkan perihal curiganya rakyat terhadap kerja Umno yang kononnya membela orang Melayu.

Bila terdesak rapat ke dinding, mulalah panggil Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Satu masa nanti, jangan terkejut jika Kebawah Duli Raja-Raja Melayu kitapun boleh tiba ke tahap meragui keupayaan Pemimpin Negara yang ada sekarang. Di peringkat itu, saya tidak tahulah apa yang akan terjadi.

Sekarang, benih yang salah, yang ditanam 50 tahun lalu sudah berbuah. Ia beracun dan cukup pahit bila dimakan.

Ia telah menimbulkan loya dan sedang menyebabkan muntah-muntah di kalangan Melayu dan bukan Melayu. Hakikat jatuhnya hampir separuh kerajaan-kerajaan negeri dari tangan Umno/BN dalam pilihan raya 8 Mac lalu adalah testimoni.

Ini berbeza dengan PAS. Kita tidak bermuka-muka. Kita mahukan Islam sejak dari tahun 1951 hingga kini dan Insya Allah, hingga sampai ke hari kiamat.

Jika Umno bermula dari Islam sejak awal penubuhannya, tentu keadaan tidak menjadi begini.

Dengan menolak Islam dan mengambil faham kebangsaan, Umno secara terbuka sanggup mendepani mana-mana gerakan siasah yang mahukan Islam.

Bermacam-macam tindakan zalim telah dibuat walaupun di luar lingkungan keizinan demokrasi.

Dalam banyak hal, dia (umno) memperalatkan kuasa majoriti yang diperuntukkan dalam amalan demokrasi untuk menyekat dan menyusahkan pergerakan dan kemajuan agamanya sendiri.

Saya masih ingat lagi bagaimana ramai ulama�, ustaz dan aktivis Islam ditangkap dan disiksa.

Ada Adun PAS yang mati dikapak di tengah-tengah pekan Kota Bharu pada tahun 1960an.

Ada Adun dari Pasir Mas yang disumbat ke dalam penjara hingga menjadi hilang ingatan.

Ada jambatan dibakar di Rantau Panjang untuk menyekat pengundi-pengundi PAS dari keluar mengundi.

Ada penjawat awam yang menyokong gerakan Islam yang ditukar, ditahan kenaikan gaji dan disekat kenaikan pangkat.

Ada yang dicerai dan hidup menjanda kerana rumahtangga mereka porak peranda akibat suami yang disumbat ke penjara melalui ISA. Semuanya ini terlalu banyak berlaku di Kelantan.

Di Kedah pula, 14 orang ustaz dan orang awam dikepung dan ditembak hidup-hidup pada tahun 1986. Memali tiba-tiba menjadi kolam darah yang mengambus jasad syuhada, pejuang dan para wali.

Tanpa segan silu, Umno jugalah yang menafikan banyak peruntukan pusat dari mengalir ke Kelantan dan Terengganu. Siapa berani mengatakan bahawa sekatan penerimaan royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu diantara tahun 1999 � 2004, misalnya, tidak berunsur politik?

Kini, Umno memutuskan Kerajaan Terengganu diberikan semula royalti kerana diperintah oleh Umno/BN.

Tidak zalimkah lagi? Lihatlah betapa siksanya pejuang-pejuang, penyokong-penyokong dan pencinta Islam untuk hidup di bawah dasar-dasar kemelayuan Umno yang melampau.

Pendek kata, terlalu panjang senarai kezaliman yang dilakukan oleh Umno kerana mengambil kebangsaan dan meninggalkan Islam.

Kini setelah 50 tahun, segala kudis, nanah, panau dan kurap penyakit asobiyah telah keluar ke permukaan.

Ada kes pembunuh Altantuya yang disebut-sebut melibatkan pemimpin tertinggi Umno. Setelah DSAI tidak terbukti melakukan liwat walaupun dituduh melakukan liwat 10 tahun yang lalu, kini dituduhnya beliau sekali lagi melakukan liwat. Lagi!

Belum reda dengan kemarahan rakyat mengenai kenaikan harga petrol, rakyat dihidangkan pula dengan berita terlepasnya Pulau Batu Putih daripada tangan Malaysia.

Entah. Saya tidak nampak cahaya lagi di hujung terowong masa depan untuk Malaysia baik dunia atau akhirat selagi berada di bawah Umno/BN. Majoriti rakyat pun saya kira sudah berkesimpulan begitu.

Ini boleh dikesan melalui pelbagai tulisan-tulisan kekecewaan baik di akhbar perdana, warta-warta mingguan, media-media nyamuk dan suara-suara berita dari akhbar-akhbar alternatif. Jika orang muda yang selalu buka laman web dan blog, fenomena ini semakin jelas.

Apa yang ada di hadapan rakyat sekarang cuma satu sahaja iaitu memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan alternatif.

TUAN GURU DATO' NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan

6 Rejab 1429/ 9 Julai 2008. - mr_

Tuesday, July 8, 2008

TUNAIKAN JANJI DAN AMANAH


Surah Al Maaidah: Ayat 1

Mafhumnya:

"Hai orang-orang yang beriman, penuhilah aqad-aqad itu[388]. Dihalalkan bagimu binatang ternak, kecuali yang akan dibacakan kepadamu. (Yang demikian itu) dengan tidak menghalalkan berburu ketika kamu sedang mengerjakan haji. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum-hukum menurut yang dikehendaki-Nya.


[388]. Aqad (perjanjian) mencakup: janji prasetia hamba kepada Allah dan perjanjian yang dibuat oleh manusia dalam pergaulan sesamanya.

Kuliah maghrib kat TLDM, tafsir surah Al Maaidah, ayat pertama:

Pengajaran:

a. Bersyukur menjadi orang beriman.

b. Allah sentiasa memberi peringatan kepada kita orang beriman, bermakna Allah sayang kepada kita, syaratnya beriman.

c. Kita sebagai hamba Allah, ada janji kita dengan Allah yanag perlu di tunaikan.

d. Kita sebagai ketua dalam keluarga , ada amanah yang mesti kita lunaskan.

e.Kita sebagai ketua atau pemerintah ada janji kita dan amanah yang mesti ditunaikan kepada pengikut dan rakyat.

f. Kita hidup bermasyarakat , ada janji kita dengan orang lain.dengan Jiran kawan-kawan dan sebagainya.

Ya Allah ya Tuhan ku berilah kepada ku kekuatan untuk menunaikan janji ku ini kepada Mu dan kepada hamba-hamba MU.

Wallahu 'Alam

Tuesday, July 1, 2008

URUS DENGAN AMANAH



Surah An Nisa' 135: Mafhumnya:


"Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia[361] kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu karena ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan."


[361]. Maksudnya: orang yang tergugat atau yang terdakwa.

Aku terasa terpanggil kepada satu artikel tentang masalah pengurusan di pusat pengajian.Dimana-mana sekarang ini banyak pusat pengajian atau pendidikan yang tumbuh bagai cendawan.

Memanglah budaya ilmu sangat dituntut oleh Syariat Islam.Kerana sesungguhnya berada dalam majlis ilmu seumpama berada di taman-taman Syurga.

Menyebarkan agama Allah adalah sangat mulia.Mereka di anggap sebagai penyambung lidah Auliya' Allah.Sangat mulia.

Namun jika berlaku sebaliknya, Bala' dan kebinasaan lah yang bakal diperolehinya,umpamanya :

a. Matlamat untuk untung ( komersial )semata-mata.

b.kejayaan para pelajar di ukur sekadar IQ ( kecerdasan Aqal sahaja )bukan mengikut EQ( kecerdasan emosi dan SQ( kecerdasan Spiritual)

c. Kebajikan pelajar di abaikan.walaupun kadang-kadang ada pelajar yang memang memilih untuk mengabaikan diri mereka dari arus pendidikan.

d. Membiarkan pelajar dengan maksiat.Tidak dinafikan ada pelajar yang memang suka berbuat demikian walaupun dilarang tetapi jiwa mudanya mengatasi keimanan.


e. Begitu juga kadang-kadang terdapat para pensyarah menjadikan Institusi pendidikan sebagai pejabat jualan langsungnya, ini lagi malang , apakah status gajinya yang diterima setiap bulan itu "halal atau haram".Jika "GURU" terlibat dengan perkara Syubhah atau haram, macamana pula hasil didikan mereka,apakah akan lahir para Graduan berakhlak atau hanya cemerlang didalam akademik sahaja.


Justeru itu sewajarnya pihak pengurusan dan yang berkaitan, lihatlah dan uruslah sistem pendidikan ke arah melahirkan jenerasi yang bukan sekadar ada IQ tetapi biarlah mempunyai EQ dan SQ.

Walaubagaimana pun,soal memegang amanah bukan terhenti kepada orang tertentu sahaja, dalam kontek "laporan akhbar"di atas,pihak pelapor juga ada peranan dan perlu tunaikan amanah, tetapi mesti ikut kaedah yang tidak bercanggah dengan Syariat.

Hadis Nabi yang mafhumnya.

" Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap apa yang di pimpinnya"

Dalam ertikata lain, semua terlibat.Dalam kontek Intitusi pendidikan sebagai contoh, para pelajar ada tanggung jawab,para pensyarah pun ada tanggungjawab,pihak pengurusan juga ada tanggungjawab, dan ingat semua orang akan ditanya dan dipersoalkan oleh Allah tentang tanggungjawabnya di Akhirat kelak.

Justeru itu semasa di dunia ini berbincang dan " Syura" lah di dalam setiap urusan, bukan dengan cara melemparkan teguran tanpa bukti yang jelas.Kemungkinan pihak pelapur ada kebenarannya, tetapi bukan semuanya benar.Begitu juga pihak pengurusan , ada salahnya tetapi bukan semuanya salah .

Oleh itu jalan terbaiknya ialah kembali semeja,berbincang dan cari penyelesaian tanpa melibat pihak-pihak lain.Sebab bila melibatkan pihak ketiga "kesalahan" itu akan lebih buruk dan menular lagi, sedang kan didalam Islam "Jika berhadapan dengan dua perkara yang buruk" mesti di pilih yang minima buruknya, dan dengan itu penawarnya lebih mudah diperolehi dan kesannya akan mempercepatkan penyembuhannya.

"Mudah mudahan dengan itu kita terselamat dari bala Allah.
Mudah mudahan kita teruskan amanah ini dengan ikhlas semata-mata kerana Allah.

Firman Allah , Surah An Nisa' ayat : 58
Mafhumnya:


"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."