Thursday, January 17, 2008

Dairi Maghrib


Petang Khamis jam 7.20 petang , bertarikh pada 17 jan 2008 bersamaan 7 Muharram 1429h, aku sampai ke Surau al Makmur IKM Lumut.Jamaah sudah ramai menunggu waktu solat, Alhamdulillah dan ada yang sedang mengambil Wudhu' membersihkan diri. Jam 7.30 azan dilaungkan , selepas selesai Solat Maghrib, aku mulakan kuliah .
Tajuk berkenaan dengan Attoharah dan kepentingan dalam kehidupan seorang pelajar.
Berbekalkan Kitab Silsilah al Fiqhu Islaami , Juzu' I untuk Sanawi awwal, kepunyaan anak ku semasa menuntut di Sekolah Agama rakyat,Maahad tarbiyah batu 8 Trong perak,yang kini dah berada di Matrik UIA.

Attoharah mengikut bahasa melayu ialah Kebersihan.

Mengikut Syara' : Perbuatan yang membolehkan mendirikan solat dan amal ibadat yang lain dengan mengambil wudhu',mandi,tayammum dan menghilangkan najis yang terkena pada badan ,pakaian ,tempat dan sebagainya".

Aku terangkan betapa Attoharah merupakan amalan mulia .Didalam Syariat Islam,bukan sahaja kekotoran dalam bentuk najis yang nampak dipandang mata kasar, bahkan juga kekotoran amalan dan hati juga perlu dikenal pasti, seperti Syirik,hasad dengki,sombong, malas , rasuah,curi tulang, meniru didalam peperiksaan, menipu untuk lulus atau menang, mencuri , bergaduh dan sebagainya yang menjadi amalan setengah manusia yang tidak memahami tujuan kehidupan dan makna kebersihan yang sebenarnya.

KENAPA PERLU BERSIH ?

a. Agama Islam adalah 'deen' atau cara hidup yang suci dan bersih.

b. Semua amalan didalam Islam tidak akan sah dan diterima oleh Allah melainkan dengan adanya kesucian dan kebersihan
c. Sesungguhnya para Malaikat sentiasa bersama-sama dengan Muslim yang suci dan bersih.

d.Kebersihan dan amalan suci menjadikan umat Islam sentiasa sihat dan kuat, dan Allah sangat sayang kepada orang Islam yang kuat.

e.Sesungguhnya ibadat Solat merupakan suatu pertemuan dan luahan hati secara langsung antara makhluk yang bernama insan dengan tuhannya, justru itu kebersihan menjadi pra syarat kepada maqbulnya doa dan khusyuknya ibadat.

f. Kebersihan zohir akan membuahkan kebersihan batin
g. Kebersihan juga melambangkan tanda syukur dengan nikmat Allah swt.

ALAT-ALAT BERSUCI.

a. Air Mutlaq
b.Tanah yang bersih.
c. Batu , kayu dan semua benda-benda kesat lagi suci untuk Istinja'
d. Alat untuk menyamak kulit, seperti garam,kapur barus dan benda-benda yang suci bagi menghilang najis pada kulit-kulit binatang selain kulit anjing babi dan keturunannya.

CARA-CARA.

a.Membersihkan dari Hadas Besar, dengan cara mandi wajib ataupun tayammum
b.Membersihkan dari hadas kecil , dengan cara berwudhu dan tayammum.

Disini sedikit huraian yang perlu diperhatikan.

Kebanyakan kehidupan remaja dan orang Islam di Negara kita hari ini banyak terikut-ikut dengan budaya lain, iaitu bukan budaya Islam. Umpamanya budaya bersolek yang melampau dan tidak mengambil kira halal dan haram.
Kadang-kadang air wudu' terhalang dengan sebab pewarna kuku,pewarna rambut yang menjadi kegilaan remaja sekarang.ukiran dan lukisan berbentuk tatoo, juga menghalang air dan merupakan cara hidup yang diharamkan oleh Islam.Budaya memakai subang oleh kaum Adam,bukan sahaja ditelinga tetapi juga di hidung,kening,lidah, pusat dan diseluruh anggota badan yang mengundang pelbagai masalah kebersihan jasmani dan rohani.

Bagaimana kalau wudu' terhalang.berhadas sepanjang hayat.
bagaimana kalau mandi wajib terhalang.Kotor sepanjang hayat.
Bagaimana kalau mati?
bagaimana untuk menjadi orang yang bersih?...

Bertaubatlah, kembali kepada cara hidup Islam, perbaiki dan azam untuk berhijrah ke arah kecemerlangan hidup dunia dan akhirat.

Beberapa Tip.

a. Kekalkan sentiasa dengan wudu' InsyaAllah ada baraakah.
b. Tuliskan beberapa azam dan pembaikan yang perlu dicapai pada bulan ini,semester ini atau tahun ini , pada secebis kertas , simpan dan ingat sentiasa serta berusaha,InsyaAllah akan ada perubahan.
c. Jauhi budaya asing dan sentiasa jadikan mencari ilmu dan beramal denganya sebagi satu budaya dan cara hidup kita.

Selepas Solat Isya' berjamaah, majlis bersurai dengan harapan agar Allah membuka jalan agar catitan dan celoteh ini dapat diamalkan bersama.

Wassalam.


No comments: